nuffnang

Sunday, November 15, 2009

Ana Raffali


Tinggalkan sekolah demi gitar

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM -utusan.com.my



ANA ketika membuat persembahan di Konsert Gegar Generasiku anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Padang Semarak, Angkasapuri baru-baru ini.


NAMA saya Ana Raffali, saya sepatutnya menjadi cikgu Bahasa Inggeris tapi sekarang saya menjadi penyanyi pula." Kata pembukaan gadis manis berkebaya ini ketika membuat persembahan di Konsert Gegar Generasiku anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Padang Semarak, Angkasapuri baru-baru ini menggamit wartawan Hits untuk mengenalinya lebih dekat lagi.

Orang ramai yang hadir bersorak melihat kemunculan gadis ayu berkebaya biru yang merangkul gitarnya. Terdetik di dalam hati penulis, jika dia meneruskan cita-cita asalnya menjadi cikgu sekolah, pasti anak muridnya tidak akan ponteng kelas untuk melihat cikgu mereka yang berwajah manis dengan tutur-kata yang lemah-lembut. Sebaik sahaja Ana memetik gitarnya dan menyanyikan lagu ciptaannya, Mekanika dan Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, orang ramai terpukau dengan suaranya yang lunak dan lagunya yang bersahaja dan menghiburkan. Melihat pakejnya yang lengkap, cantik, muda, bijak dan berbakat berserta dengan personalitinya yang tersendiri, Hits yakin pemilik nama Ana Nur Hidayah Mohd Raffali mampu pergi jauh dalam industri seni ini. Satu sesi pengambaran dan temuramah bersama Ana diadakan di studio Utusan baru-baru ini dan ternyata dia memang kelihatan ayu berkebaya dan mesra seperti ketika di atas pentas.


Memulakan ceritanya, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini menjelaskan yang dia tidak pernah terbayang yang suatu hari nanti dia akan berada di atas pentas menyanyikan lagu-lagu ciptaannya sendiri. Hasil pengajiannya dalam jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) sepatutnya Ana menghalakan langkahnya dalam bidang perguruan mahupun pensyarah, bukannya sebagai penyanyi.

Namun, Ana tetap optimis dengan pilihannya untuk menjadi penyanyi dan komposer lagu walaupun bidang asalnya sudah menjanjikan masa depan yang cerah.

Terang Ana, dia sudah mula menulis lagu sendiri sejak di bangku sekolah lagi tetapi sekadar suka-suka kerana dia tidak tahu memainkan sebarang alat muzik ketika itu. "Saya gemar membaca dan itu membuatkan saya sering berangan-angan dan semuanya diluahkan menerusi penulisan puisi. "Saya mula belajar bermain gitar ketika berusia 19 tahun ketika di universiti. Itupun menerusi buku 30 Hari Belajar Bermain Gitar sebab tiada sesiapa yang boleh meluangkan masa mengajar saya. "Bersama gitar kapuk pertama yang dibeli hasil perkongsian dengan rakan saya, saya mencipta melodi lagu-lagu yang ditulis dan mula membuat persembahan di majlis-majlis universiti," ujar gadis berusia 24 tahun ini. Semenjak itu, dia sering dijemput mengadakan persembahan di majlis-majlis universiti, acara yang mengumpulkan bakat baru seperti di Layar Tanchap di Shah Alam, Akustik Rantai di Pasar Seni dan lain-lain. Namanya kemudian mula meniti di bibir peminat muzik indie apabila dia sering dijemput membuat persembahan dan video-videonya di dalam YouTube diminati ramai malah dia punya pengikut sendiri walaupun sebelum bergelar artis rakaman.

Ana Raffali semakin serius dengan perjuangan muziknya itu ketika mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun dan melihat pelajar di sana amat menghargai muzik. Ana melihat muzik dapat mengeratkan hubungan di sebalik perbezaan bahasa. dan ia membuatkan Ana yakin dengan apa yang dia inginkan dalam hidup, menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti dan indah didengar. Ana dilamar Aidit

Seperti telah ditakdirkan, komposer terkenal, Aidit Alfian, bertemu dengan Ana menerusi video yang dimuat-naik Ana di dalam laman web YouTubenya. "Ketika itu saya seperti tidak percaya dan berasa sangat bertuah kerana mendapat nasihat dan kata-kata semangat daripada seseorang yang saya kagumi. "Apabila Abang Aidit mengiklankan uji-bakat untuk syarikat rakamannya, saya pergi menyertainya dan kini saya menjadi artis Aidit Alfian Records," ujarnya ceria. Di bawah Aidit Alfian Records, single pertamanya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur telahpun diedarkan dan menjadi siulan anak muda. Setiap persembahan Ana akan diiringi oleh sekumpulan pemuzik-pemuzik yang hebat yang menggelarkan diri mereka The Marhaens. Mereka terdiri daripada Aidit sendiri yang memainkan guitar akustik, Andy Flop Poppy (bass), GG (guitar), Alfa Booty (guitar), Iqbal Hisham (cello), Mie Flop Poppy (drum), Rumie Booty (drum) dan Bobo (percussion). Tambahnya, album sulungnya yang bakal menyelitkan enam buah lagu ciptaannya sendiri akan siap bulan Januari depan . "The Marhaens umpama magis, kerana kehadiran mereka mengindahkan lagi lagu ciptaan saya."Saya berasa amat bertuah kerana diiringi oleh sekumpulan pemuzik yang hebat dan saya sering belajar daripada mereka dalam memantapkan lagi cara permainan gitar saya," ujarnya.Ana dan baju tradisional

Melihat dirinya yang sentiasa mengadakan persembahan berbaju kurung atau kebaya membuat ramai yang tertanya adakah ini sekadar gimik untuk menarik perhatian orang ramai. Jelas Ana, dia memang gemar berbaju kurung atau kebaya dari dahulu lagi kerana dia merupakan seorang gadis yang sederhana dan bukanlah jenis yang gemar melaram."Saya suka sebab selesa dan sesuai dengan diri saya yang sederhana. Bagi saya baju kurung dan kebaya cukup cantik dan semestinya senang disarung. "Lagipun saya adalah seorang gadis berketurunan Melayu tulen, saya bangga dengan baju tradisional saya," ujarnya yang merupakan anak kesembilan daripada 11 orang adik beradik. Tambah Ana, dari zaman awal remaja lagi, dia lebih suka membelanjakan duit yang diberi bapanya untuk membeli buku daripada baju baru. Dia sering memakai baju kurung yang merupakan hasil himpunan baju rayanya ketika ke kuliah dan apabila dia perlu membuat persembahan di majlis rasmi universiti, dia tiada baju lain selain baju kurung. Sejak itu, orang ramai mula mengenalinya sebagai gadis berkebaya atau berbaju kurung yang menyanyi diiringi petikan gitarnya sehingga sekarang.

Ana ingin menjadi komposer terkenal

Berbeza dengan kebanyakan artis-artis muda yang lain, Ana mempunyai visi tersendiri apabila menjejak kaki ke dunia hiburan ini. Anak jati Kuala Lumpur ini berharap yang dia akan menjadi komposer yang dikenali dan segah idolanya, M. Nasir, suatu hari nanti. Tambahnya, dia ingin menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti dan turut menghasilkan lagu untuk artis-artis lain. Setakat ini, Ana telah menghasilkan sekitar 30 buah lagu dan antara yang menjadi siulan ialah Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Tingkap Kaca, Sepasang Sudu, Ghost, My Darling dan Mekanika."Salah satu impian saya ialah Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagu ciptaan saya kerana bagi saya dia adalah seorang penyanyi yang hebat," ujarnya yang turut menyatakan arwah kakaknya merupakan pendorong setia jiwa seni Ana.

Bagi yang ingin mengenali gadis berjiwa besar ini, boleh melayari laman web rasminya di www.anaraffali.com.

No comments: