AF7 langgar tradisi
Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my
TIDAK salah untuk melanggar tradisi bagi memperbaiki mutu Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh ini. Itu janji pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina. Namun, apabila ketiadaan tarian tema Menuju Puncak pada penghujung konsert seperti enam musim sebelumnya, ada yang tertanya-tanya sama ada itu satu pembaharuan atau kecuaian.
Dalam siaran Diari AF, pelajar-pelajar AF7 ada berlatih malah diajar tarian baru untuk lagu tersebut. Maka, ini bermaksud tarian Menuju Puncak yang sinonim dengan AF masih dikekalkan tetapi hanya tidak dipersembahkan pada minggu pertama itu.
Apabila ditanya isu itu pada sidang media selepas konsert Sabtu lalu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan memberitahu, pelajar-pelajarnya masih belum bersedia sepenuhnya dengan gerak tarian. Tambahnya, barisan tenaga pengajar mahu pelajar lebih memberi fokus kepada persembahan mereka pada minggu pertama.
Persoalannya, mengapa pelajar-pelajar musim sebelumnya mampu untuk berlatih tarian Menuju Puncak dan pada masa yang sama menjayakan persembahan mereka?
"Kita sebenarnya ada memaparkan lagu Menuju Puncak pada permulaan konsert. Cuma pelajar-pelajar tidak menari kerana mereka belum bersedia sepenuhnya," kata Khairul.
HAFIZ merupakan antara peserta yang berjaya memancing perhatian banyak penonton.
Pengetua AF7, Tiara pula mempunyai sebab berlainan kepada 'pembaharuan' itu. Dia dengan tenang menyatakan kelainan yang ditonjolkan itu adalah elemen kejutan kepada audiens. Lagipun dia terlebih dahulu sudah diberitahu mengenai penukaran tersebut.
"Memang dari awal pihak produksi ada memberitahu bahawa para pelajar tidak akan melakukan tarian Menuju Puncak. Seperti yang diketahui, memang ada beberapa perubahan dalam AF musim ini dan penonton perlu menerimanya. Kita perlu langgar tradisi jika mahu terus berkembang dan menuju ke hadapan," jelas Tiara mengenai konsert itu yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Jika diperhatikan, musim terbaru AF7 juga tidak menyaksikan para pelajar keluar dan memperkenalkan diri serta menarik undi. Sebelum bermulanya persembahan, pengacara AC Mizal juga tidak berbual dengan pelajar seperti musim sebelumnya.
"Banyak benda-benda kecil yang kami tukar bagi memadatkan kualiti program. Disebabkan jumlah pelajar yang ramai, kami juga tidak mahu memanjangkan konsert sehingga tiga jam," tambah Khairul.
KELAINAN? Barisan pelajar AF7 muncul tanpa tarian tema Menuju Puncak.
Melihat pula prestasi 14 pelajar yang dipilih, rata-rata tidak meninggalkan impak kecuali Hafiz (Lagu Kita), Aril (Rahsia Perempuan), Aishah (Dan Sebenarnya), Claudia (Sempurna), Isma (Sepi) dan Rubisa (Matahariku).
Berdasarkan persembahan meyakinkan daripada Hafiz dan Aril, ramai yang meramalkan juara musim ini akan berpihak kepada pelajar lelaki.
Antara pelajar lain yang membuat persembahan termasuk Adila (Di Bawah Pohon Asmara), Rini (Elegi Sepi), Zizi (Molek), Qhaud (Phoenix Bangkit Dari Abu), Yazid (Penghujung Rindu), Sidi (Terima Kasih Cinta), Obri (Jeritan Batinku) dan Akim (Hatiku Kau Luka).
"Kalau ada yang cakap konsert malam ini hambar, saya sudah menerima banyak ucapan tahniah daripada mereka yang menonton konsert.
"Ramai pelajar yang sudah nampak bakatnya dan ada yang lebih baik daripada penyanyi di luar sana. Saya gembira kerana AF telah bermula dengan tahap tinggi berbanding musim sebelumnya," ujar Tiara dengan yakin.
Namun, pengkritik tetap iaitu Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie yang 'dinasihatkan' untuk menilai secara berlapik juga sedikit sebanyak mengurangkan kehangatan konsert. Walaupun ramai pelajar yang diberi peluang memilih lagu sendiri telah membuat kesilapan, para pengkritik memberi 'kelonggaran'.
"Memang kami sengaja memberi mereka peluang memilih lagu sendiri pada minggu pertama. Kami mahu mereka menonjolkan personaliti dan minat mereka. Mungkin ada yang membuat pilihan tepat dan ada yang kekurangan pengalaman. Namun, itulah transformasi yang kami mahukan. Biarkan mereka belajar dan membesar dari kesilapan," jelas Tiara.
No comments:
Post a Comment