nuffnang

Wednesday, May 28, 2014

Hotel Halal di Kuantan


KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) semalam mengesahkan 26 premis makanan membabitkan 17 hotel dan resort di daerah ini adalah halal selepas pemeriksaan dan pemantauan jabatan berkenaan.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Noridzuan Abdul Manan berkata, kesemua dapur dan restoran itu juga dinasihatkan menjaga kebersihan dan bahan yang digunakan sentiasa halal.

Menurutnya, hotel yang disenaraikan Jaip ialah
MS Garden, The Zenith, De Rhu Beach Resort, Impiana Resort Cherating, Grand Continenal, Cherating Holiday Villa, Megaview dan Shahzan Inn.

“Lima lagi dapur hotel yang disahkan halal ialah Suria Cherating Beach Resort, Residence Inn and Motel, Santuari Resort, The Legend Resort Cherating dan hotel terbaru di Kuantan iaitu Rocana, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua hotel terbabit sudah mematuhi standard, syarat dan prosedur halal yang ditetapkan pihak berkuasa agama iaitu menggunakan bahan-bahan halal dalam masakan.

“Kita senaraikan hotel berkenaan supaya dapat menarik lebih banyak lagi hotel lain di negeri ini memohon untuk mendapatkan sijil halal sekali gus memberi lebih banyak kelebihan kepada mereka,” katanya.

Katanya, selain penggunaan bahan yang tidak boleh dipertikaikan dalam konteks halal, pengurusan dapur hotel berjaya melaksanakan amalan kebersihan yang baik ketika proses pengendalian dan penyediaan makanan.

Noridzuan berkata, faktor lain yang membolehkan dapur hotel berkenaan diiktiraf halal ialah proses penyimpanan bahan mentah kering dan basah serta penstoran yang dilaksanakan.

“Selepas menerima sijil halal, Unit Pengurusan Halal akan melakukan pemantauan berkala di dapur restoran dan kafe bagi memastikan kemaslahatan pengguna terjamin selain pemeriksaan susulan jika ada aduan dari pelanggan.

Sebagai pengguna Islam, beliau menggalakkan semua pihak memilih dapur hotel yang mempunyai status halal.

Beliau turut menasihatkan kumpulan yang merancang mengadakan seminar, kursus atau bengkel latihan mengelakkan hotel yang tidak mempunyai sijil halal kerana boleh menimbulkan keraguan.

“Jaip komited dan mahu memastikan semua dapur hotel yang menjadi perhatian pengguna terutama pelancong mendapat sijil halal  bagi memudahkan mereka membuat pilihan ketika berkunjung di sini,” katanya.


SUMBER - http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/jaip-senarai-hotel-halal-1.283557

No comments: