Pelakon Zed Zaidi, 31, atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil bakal menamatkan zaman bujangnya dengan Natalia Mustafa Kamal, 28, pada 29 April ini.
Majlis akad nikah akan diadakan di Restoran Felda Villa, di sini dengan tetamu terdiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua pasangan kemudiannya akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada 7 Mei di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur dengan tema moden tradisional.
Menurut Zed, dia tidak melakukan upacara pertunangan sebaliknya terus melangsungkan acara ijab kabul.
“Acara pernikahan nanti akan dibuat secara sederhana sahaja dengan dihadiri keluarga kami sahaja. Mereka minta agar dibuat secara tertutup manakala majlis resepsi baru kami menjemput rakan-rakan dan media,” ujarnya.
Bercerita tentang detik perkenalannya dengan wanita tersebut yang juga ahli perniagaan, Zed memberitahu mereka bermula sebagai rakan Facebook sehinggalah kemudian bertukar menjadi rakan perniagaan sebelum hadirnya bibit-bibit cinta.
“Kami kenal di laman sosial Facebook sejak tahun 2008. Selepas itu saya tolong dia usahakan perniagaan dalam talian miliknya.
“Pada asalnya kami hanya rakan biasa sahaja sehinggalah selepas menunaikan umrah tahun lalu, saya mendapat petunjuk dialah calon yang paling sesuai untuk saya,” katanya.
Tambah Zed, Natalia merupakan seorang gadis yang memahami dan sentiasa setia dengannya.
“Dia sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon kerana dia pun dahulu pernah bekerja di TV3.
“Lagipun dia antara kawan yang sentiasa ada di sisi saya serta sanggup mendengar masalah saya,” ujarnya.
Ditanya tentang persiapan perkahwinan, Zed berkata, dia sedang dalam beberapa fasa terakhir untuk majlis tersebut.
“Semuanya keluarga sudah uruskan, saya sudah bercuti sejak 15 April lalu untuk urusan perkahwinan. Sekarang hanya tinggal beberapa perkara sahaja lagi yang belum selesai. Insya-Allah semua akan berjalan lancar,” ujarnya yang akan memberi tujuh dulang hantaran kepada pihak perempuan.
Zed turut merancang untuk membuka sebuah francais makanan bersama isterinya selepas bergelar suami isteri nanti.
1 comment:
memang unik..kadnya.
selamat pengantin baru utk zed zaidi..
Post a Comment