nuffnang

Monday, May 17, 2010

Michelle Yeoh Ikon Program Membaca Kebangsaan

I love reading (kan kat sidebar tu ada gambar merahhh tuu)

Tapi bila baca berita Michelle Yeoh dipilih jadi ikon Program Membaca Kebangsaan - Mari Membaca 1Malaysia, saya agak tidak teruja dengan pemilihan itu.. tapi bila baca news yg bawah nih.. ok lah.. bleh trima lah...


SELEBRITI antarabangsa Datuk Michelle Yeoh ada misi baru untuk anda semua di tanah air. Jelitawan kelahiran Ipoh, Perak (dengan nama Yeoh Choo Kheng) ini yang terkenal dalam pelbagai watak lakonan dalam filem aksi di Hong Kong dan Hollywood ingin mempromosi tabiat membaca terutama di kalangan umum seiringan dengan perlantikan beliau sebagai ikon baru untuk program "Mari Membaca 1Malaysia".

Seorang yang percaya bahawa pengetahuan mampu memperkayakan minda, Yeoh berkata, membaca ialah satu tabiat yang boleh dipupuk dan ia hendaklah ditanam sedari usia muda lagi.

"Abang saya mempunyai empat anak dan membaca adalah satu daripada amalan yang saya amat tekankan ke atas mereka, sejak mereka kanak-kanak lagi," katanya.

Beliau berkata membaca adalah pelengkap dalam kehidupan setiap manusia di samping menjadi satu keperluan untuk membina sebuah negara membangun.

Michelle Yeoh (dua, kiri) mendengar Crystal Lee, 7, membaca sebuah buku cerita bahasa Inggeris di Perpustakaan Negara baru-baru ini. - foto BERNAMA

ULAT BUKU

Membaca telah menjadi kegemaran sejak sekian lama bagi bekas ratu cantik ini, yang kini menjadi pelakon aksi kung-fu.

"Saya biasa membaca dalam bilik air semasa remaja, walaupun sekarang tidak lagi melakukan tabiat itu," jelas beliau.

Malahan, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa kehidupan aktres berkenaan, yang terkenal dengan lakonan dalam filem seperti James Bond: Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger, Hidden Dragon", bergelumang dengan buku, di mana beliau meluangkan setiap masa lapangnya dengan bahan bacaan yang sentiasa ada di sisi.

Purata beliau membaca antara 10 dan 15 buku sebulan tidak kira fiksyen, perniagaan, komunikasi, sains, treler, kerohanian dan alam sekitar.

"Saya banyak membaca, jika awak datang ke bilik tidur saya, terdapat di sebelahnya satu rak buku.

"Saya membaca tak kira apa jua, terutama yang berkaitan dengan kerja. Tapi saya juga suka fiksyen, hasil karya Sidney Seldon dan Michael Crichton.

Beliau menjelaskan lagi, apabila menaiki kapal terbang, akan terdapat sekurang-kurang dua atau tiga buku dibawa bersama dan kalau tiada beliau akan "menjadi amat gelisah".

PILIHAN TEPAT

Awal tahun ini, Yeoh secara rasmi dilantik sebagai ikon untuk Program Membaca IMalaysia Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri berkenaan Senator Heng Senator Heng Seai Kie.

Heng berkata kementerian berkenaan berharap dengan populariti dan status Yeoh sebagai aktres antarabangsa, dapat mempengaruhi dan memupuk tabiat membaca di kalangan orang ramai di negara ini.

Beliau juga yakin Yeoh boleh menjadi duta bagi memperkenalkan kerja-kerja kesusasteraan di peringkat antarabangsa.

"Justeru, saya kira pemilihan beliau (Yeoh) sebagai ikon kempen Membaca 1Malaysia adalah satu pemilihan yang tepat dan wajar," tambah Heng.

KOMITMEN PERIBADI

Pada pelancaran program berkenaan, Yeoh mencadangkan agar Michelle Yeoh's Reading Corner (Sudut Membaca Michelle Yeoh) diwujudkan di Perpustakaan Negara, di mana beliau juga bersedia menyumbang sebahagian daripada koleksi buku beliau untuk dikongsi bersama dengan pembaca ulat buku di sini. Aktres berkenaan juga biasa aktif dalam projek-projek amal di Hong Kong di mana beliau mengumpulkan buku dan peralatan tulis untuk didermakan kepada kanak-kanak miskin di tanah besar China.

Selain itu, beliau merancang untuk mengadakan sesi membaca dengan pembaca lain dan berharap dengan berbuat demikian beliau akan dapat menjalinkan hubungan mesra dengan pembaca tempatan.

Beliau juga menggalakkan penyertaan dari sektor swasta dalam program peringkat kebangsaan ini.

"Adalah penting untuk mengingatkan kepada kanak-kanak bahawa sama ada anda seorang pekerja bank, pemberita atau sebarang profesion, membaca adalah amat penting dalam kehidupan anda," tambah beliau.

MISI KEBANGSAAN

Meskipun sibuk dengan jadual harian, aktres ini tetap berusaha untuk meluangkan lebih masa di tanah air untuk program berkenaan.

"Malaysia ialah kampung halaman saya dan saya selalu balik ke sini yang kadang-kadang secara senyap-senyap. Dengan projek ini dalam tangan, saya selalu luangkan lebih sehari atau dua hari di sini untuk program berkenaan.

"Saya rasa secara ini ia akan membawa saya pulang ke Malaysia dengan satu misi," katanya.

Selain bertindak sebagai ikon untuk program tersebut, Yeoh juga ialah Duta Keselamatan Jalan Raya Global untuk Persekutuan Automobil Antarabangsa (IAF).

Beliau juga kini aktif dalam pemuliharaan hutan dan binatang di rantau ini.

"Saya beranggapan wujud satu sinergi baik antara ketiga-tiga projek yang saya turut terlibat.

"Jadi saya fikir saya boleh galas kesemuanya," katanya.

MEMBACA LUASKAN MINDA

Yeoh berkata, selain daripada suka-suka, bahan bacaan beliau banyak yang berhubung dengan tugasnya.

"Sebagai produser dan aktres, saya banyak membaca untuk melakukan kajian mengenai watak yang saya akan lakonkan.

"Contohnya, apabila penggambaran Memoirs of a Geisha, saya banyak membaca mengenai budaya di Jepun dan geisha," katanya.

Sekarang ini beliau sedang membaca mengenai pemuliharaan dan negara-negara di rantau sini bagi mendapat kefahaman yang lebih mengenai masalah kegiatan penebangan pokok hutan di samping aktiviti pemuliharaan yang telah dilaksanakan.

Jika ada lagi masa terluang beliau akan menyelak buku-buku mengenai kerohanian.

"Saya seronok membaca buku mengenai agama orang lain atau agama saya sendiri kerana saya berpendapat bahawa ia adalah satu-satunya cara anda boleh memiliki fikiran yang luas dan memahami mengenai kepercayaan dan agama orang lain," katanya.- BERNAMA

1 comment:

atty's said...

suka baca novel ngn majalah..