nuffnang

Monday, February 15, 2010

Pura-Pura Kena Sawan

Kan aritu cik cloudy dah pesan.. ni mesti tak baca blog cik cloudy nih.. hehe..

Tadi tengok Buletin Utama, ada ops cegah maksiat sempena Valentine, ada pulak dia tunjuk kes kat Kuantan nih haaa.. siap tunjuk time pecah bilik hotel lagi .. (Saya Inspektor Mala, buka pintu!) Orang di dalam tak jugak buka pintu.. abis la pintu hotel yg takde lah berapa byk banyak bintang tu rosak kena umpil dengan kuku kambing.

kamera seterusnya tunjuk pulak keadaan dalam bilik hotel.. yg si lelaki nyer dok terlentang atas lantai, pengsan konon nyer, siap kuar air liur mcm kena sawan lagi (dalam paper ckp, bukan nampak dlm tv, sbb kat tv dia blur kan muka). Pastu yg ppuan pulak masa kamera tunjuk tu baru nak kuar dari bawah katil..aisehhh... siann... napalah sampai mcm tu kan.. nauzubillah..

yang menariknya lagi... bila baca paper mstar nih.. dia cakap lelaki tu tentera yg sudah berkahwin dan yg lagi lagi menariknya, ppuan tu pun dah kawinnnn! aduhaiiii.... pastu yg best gak lagi... ppuan tu diikat jamin oleh suami nyer, tapi suami dia ngamuk dulu la before ikat jamin tu... okeh sekian ulasan berita... sila baca berita selanjut nyer... hikkss..

Lelaki Pura-Pura Sawan Elak Dicekup JAIP

KUANTAN: Seorang lelaki sanggup berlakon diserang penyakit sawan dengan mengeluarkan air liurnya bagi mengelakkan dia dicekup anggota Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kerana berkhalwat dengan pasangannya di dalam sebuah bilik hotel dalam Operasi Valentine di sini, pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan JAIP, Ahmad Rafflie Ab Malik berkata, sebelum itu pihaknya terpaksa meminta kerjasama daripada pihak polis kerana keengganan pasangan itu membuka pintu bilik hotel tersebut.

"Kedegilan mereka itu menyebabkan anggota kita terpaksa meminta bantuan pihak polis untuk mengopak pintu bilik berkenaan dan setelah mencuba beberapa kali akhirnya polis berjaya mengopak pintu itu menggunakan beberapa peralatan termasuk kuku kambing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, sebaik saja pintu berjaya dibuka seorang lelaki yang merupakan anggota tentera berusia 28 tahun, berpura-pura diserang penyakit sawan dalam keadaan separuh sedar sambil mengeluarkan air liurnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Ketika dicekup, lelaki yang juga suami orang terbabit berbaring atas lantai sambil berlakon seolah-olah terkena sawan manakala pasangannya yang berumur 30 tahun itu menyorok di bawah katil sambil menangis," katanya.

Menurutnya, wanita yang berasal dari Pekan itu juga merupakan isteri orang di mana dia diikat jamin oleh suaminya yang sebelumnya berang dan mengamuk di pejabat JAIP di sini.

Ahmad Rafflie berkata, serbuan yang bermula pukul 6 hingga 9 pagi tadi di beberapa buah hotel di sini, pihaknya merekodkan sebanyak 46 kes melibatkan kes khalwat, minum arak dan mendedahkan anggota tubuh di khalayak ramai yang membabitkan pesalah berumur antara 16 hingga 40 tahun.

Menurut beliau, kesemua mereka yang ditahan berkhalwat akan didakwa mengikut Seksyen 145 (1) & (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 87) dan sabit kesalahan didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan meminum arak pula katanya, mereka ditahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara dan enam sebatan.

Kesalahan mendedahkan tubuh di khalayak ramai akan didakwa mengikut Seksyen 183 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, katanya. - BERNAMA

1 comment:

Bulan Dilangit Osaka Biru said...

pandainya lelaki itu ...
hehehe...
sepandai2 tupai melompat akhirnya dahan itu akan patah