Pengguna Facebook pertama dipenjara
KEELEY tiba di sebuah mahkamah majistret di Worcester, England semalam.
LONDON – Seorang remaja, Keeley Houghton menjadi individu pertama yang dipenjara di Britain kerana membuli di alam siber selepas dia menyiarkan ancaman bunuh di laman jaringan sosial Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah mahkamah Britain menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Keeley, 18, kerana menulis dalam web peribadinya bahawa dia akan membunuh Emily Moore, remaja perempuan yang dibulinya sejak sekian lama.
“Keeley akan bunuh jalang itu (Moore),” menurut mesejnya di Facebook.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4 petang 12 Julai lalu dan membiarkan komen itu berada di laman Facebook miliknya selama 24 jam.
Mahkamah Majistret Worcester diberitahu bahawa Moore, 18, menjadi mangsa Keeley selama empat tahun dan pernah menghadapi serangan fizikal selain rumahnya turut dirosakkan.
“Sejak Moore berusia 14 tahun, anda (Keeley) berulang kali mengugut dan mengasarinya. Pembuli sebenarnya pengecut sama ada di sekolah atau di kalangan masyarakat,” kata Hakim Bruce Morgan.
Remaja itu menangis ketika hakim membacakan hukuman tersebut.
Selain itu, dia turut dilarang daripada menghubungi Moore secara langsung melalui Internet atau dalam apa cara sekali pun selama lima tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang aktivis, Emma Jane Cross menyatakan hukuman itu akan menjadi rujukan penting dalam kes buli siber di Britain.
“Hukuman itu menjelaskan bahawa perbuatan membuli sama ada di dunia nyata atau di Internet boleh menjurus kepada kesalahan jenayah dan tidak boleh dibiarkan,” katanya. – Agensi
copynpaste from kosmo
No comments:
Post a Comment