nuffnang

Thursday, August 13, 2009

JALENAS

Jalenas pemangkin jalur lebar

Husain Jahit husain@hmetro.com.my



PAHANG menjadi satu-satunya negeri di Malaysia mengorak langkah jauh ke depan menjangkaui era jalur lebar semasa apabila melaksanakan inisiatif capaian berasaskan talian gentian optik ke rumah (FTTH).Jalur Lebar Nasional Sdn Bhd (Jalenas) memilih Kuantan sebagai bandar pertama di Malaysia menggunakan prasarana jalur lebar berkelajuan tinggi FTTH capaian terbuka.

Capaian terbuka akan membawa maksud model perniagaan apabila Jalenas akan menjadi penyedia prasarana rangkaian kepada penyedia perkhidmatan atau operator.FTTH ialah prasarana berasaskan kabel gentian optik bagi menggantikan wayar kuprum sedia ada digunakan sekarang oleh kebanyakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.Teknologi ini didapati lebih berkesan kerana mampu memberi kelajuan jalur lebar yang amat tinggi ke atas pelbagai perkhidmatan bersepadu termasuk suara, data dan video yang akan disalurkan terus ke rumah pengguna.Era Internet yang berkembang dengan pesat hari ini boleh mengambil kesempatan teknologi terbabit bagi menyalurkan berbilang isyarat digital menerusi satu kabel dengan kelajuan yang tidak dapat disangkal iaitu sehingga 2.5 gigabit sesaat (Gbps) berbanding 1.5 megabit sesaat (Mbps) menggunakan kabel kuprum.

Prasarana gentian optik capaian terbuka Jalenas akan terus ke rumah pengguna untuk menyokong kelajuan Internet yang diperlukan.Ia amat sesuai bagi memindah turun pelbagai kandungan termasuk filem, muzik, bermain game dalam talian, menonton berbilang saluran TV berdefinisi dengan serentak tanpa mengurangkan kualiti gambarnya, menggunakan perkhidmatan telefon dengan jelas dan banyak perkhidmatan maju pada masa depan.

Matlamat yang dibawa Jalenas ialah menyediakan setiap rumah yang berada di kawasannya dengan prasarana komunikasi paling bertenaga, di samping membuka peluang kepada semua penyedia perkhidmatan supaya bersaing di atas sebuah rangkaian terbuka.Menurut Pengarah Eksekutif Jalenas, Heikal M Ali, dengan rangkaian Jalenas pengguna akan mendapat kelajuan sehingga 100 ganda lebih tinggi berbanding penyambungan sedia ada.Dalam pada itu, katanya, pengguna tidak akan kehilangan kelajuan menerusi perkongsian penyambungan tidak kira berapa ramai penghuni di dalam sesebuah rumah terbabit atau kejiranannya."Rangkaian gentian optik Jalenas berasaskan 'Capaian Terbuka' apabila syarikat penyedia perkhidmatan boleh menawarkan perkhidmatan seperti Internet, telefon, TV satelit dan sebagainya."

"Pengguna pula mendapat kebebasan memilih penyedia perkhidmatan terbaik dengan tawaran harga paling menarik," katanya.Heikal berkata, dengan adanya teknologi penyambungan berasaskan gentian optik di rumah itu, secara tidak langsung ia akan meningkatkan nilai hartanah dan kita sebagai pengguna pula mendapat sistem penyambungan termaju pada masa depan.

"Sebagai permulaan, kami mensasarkan untuk menyediakan penyambungan (home- pass) ke atas 30,000 rumah dan pejabat di sekitar gelung rangkaian gentian optik Jalenas di Kuantan dalam tempoh tiga tahun dengan kelajuan di antara 30 hingga 100Mbps," katanya.Syarikat itu juga mensasarkan untuk menyambung sehingga 2.5 juta rumah dan pejabat di seluruh negara dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dengan pelaburan sehingga RM10 bilion untuk melengkapi prasarana rangkaiannya.

Menurut Heikal, menjelang akhir tahun ini, Jalenas menjangkakan dapat menyediakan sehingga 2,000 penyambungan meliputi rumah kediaman dan pejabat terutamanya agensi kerajaan.Jalenas adalah milik High Speed Broadband Technology Sdn Bhd (HSBT), syarikat perkongsian antara Technology Resources Sdn Bhd (anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang) dengan Bumiraya Resources Sdn Bhd. Walaupun ia sebuah syarikat baru, ia disokong gergasi teknologi telekomunikasi terkemuka dunia, Ericsson dan PacketFront sebagai peneraju dunia rumusan capaian terbuka.

Ericsson pada keseluruhannya bertanggungjawab dalam mereka bentuk dan membekal rumusan akhir-ke-akhir, projek guna pakai dan menguruskan rangkaian capaian terbuka, sementara PacketFront menyediakan rumusan penyediaan perkhidmatan.Menurut Pengerusi HSBT, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, Jalenas menyediakan prasarana batuan terakhir kepada syarikat untuk menyediakan perkhidmatan menerusi jalur lebar berkelajuan tinggi.

"Dengan memberi capaian sama rata kepada penyedia perkhidmatan prasarana jalur lebar berkelajuan tinggi, jalur lebar, aplikasi dan kandungan, mereka boleh mengembangkan perniagaan dengan pantas di dalam era Internet masa kini yang lebih mementingkan kelajuan," katanya.Sharkar berkata, Jalenas kini berunding dengan beberapa penyedia perkhidmatan di negara ini untuk menggunakan perkhidmatannya di seluruh negara.

"Dengan menawarkan pilihan yang lebih baik kepada penyedia perkhidmatan bagi menghubungkan mereka dengan rangkaian kabel antarabangsa dan serantau, kos keseluruhan bagi capaian Internet di negara ini boleh dikurangkan sebanyak mungkin," katanya lagi.Jalenas juga merancang memperkenalkan perkhidmatannya ke seluruh negara sebaik perbincangan dan koordinasi dengan pihak berkuasa negeri atau tempatan berjaya dimeterai.

1 comment:

Anonymous said...

Datuk Najib atau Datin Rosmah ade share tak dalam Jalenas?