nuffnang

Thursday, May 07, 2009

Tomok n RM1 Juta


sajer letak gmbr lama for a change

Mesti ramai yg tertanya-tanya macam mana RM1 juta hadiah kemenangan Tomok tu diberi pada dia? Dia dapat selori cash ker macam mana? hehe.. selori ke duit satu juta in cash? Kalau dlm note singgit mau muat dalam trak 3 tan ke.. hahaha..

Anyway... aku terjumpe artikel nih kat Mega, Utusan Malaysia... so... barulah tau mcm mana...


8TV urus RM1 juta Tomok


JUARA OIAM3 kini di dalam genggaman Tomok selepas hampir empat bulan dia bersaing merebut gelaran tersebut.

TIDAK dinafikan, Tomok yang mempunyai kelebihan daripada segi pengalamannya menyanyi bersama New Boyz sejak 10 tahun lalu mempunyai kekuatan vokal dan gaya persembahan yang mantap.

Hasilnya, kelebihan itu memberikan pulangan yang besar buat Tomok apabila dia ditabalkan sebagai juara baru One In A Million musim ketiga (OIAM3) oleh para peminatnya.

Bukan sekadar menggenggam gelaran juara, sebaliknya, apa yang menjadi perhatian masyarakat ketika ini ialah habuan RM1 juta yang turut dibawa pulang oleh Tomok.

Bertuah badan Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail kerana kejayaan berpihak padanya. Ia sekali gus menebus 'maruah' beberapa teman artis popular sebelum ini yang pernah menyertai OIAM tetapi semuanya tewas di pertengahan jalan.

Soalnya kini, bagaimana bentuk pelaburan RM1 juta yang akan dilaksanakan oleh penganjur iaitu 8TV terhadap Tomok?

Apakah dia akan memperoleh jumlah wang berkenaan dalam bentuk tunai?

Menjawab persoalan itu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, bukan semua jumlah RM1 juta diperoleh Tomok dalam bentuk tunai.

Sebaliknya, sebahagian daripada habuan kemenangan itu akan dilaburkan demi kebaikan karier seni Tomok pada masa depan.

Apatah lagi kata Izham, berdasarkan pengalaman OIAM sebelum ini, pengurusan wang dalam jumlah yang besar harus diuruskan dengan cara yang betul demi kebaikan seseorang juara OIAM itu.

"Kami memang ada rancangan untuk membantu Tomok menguruskan wang hadiah kemenangannya itu. Memang Tomok akan mendapat dalam bentuk cash (tunai) tetapi bukan secara keseluruhannya.

"Ini kerana, berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, pegangan tunai yang besar mungkin akan menjejaskan keselamatan dia (Tomok). Sekurang-kurangnya duit itu akan pergi kepada dia juga," jelasnya.

Sehubungan itu, Izham bersama Monkey Bone Records yang bernaung di bawah 8TV kini sedang merancang untuk menerbitkan album solo Tomok dalam waktu terdekat ini.

Tambahnya lagi, dengan wang atas kemenangan Tomok itu, sekurang-kurangnya tiga buah album solo penyanyi terbabit akan diterbitkan di bawah syarikat rakaman tersebut.

"Lagu terbaru Tomok yang dinyanyikannya pada malam ini, Rindu Terhenti pula mula disiarkan malam ini di stesen-stesen radio termasuk di laman Gua Music.com. Lagu-lagu single Esther dan Aweera juga akan disiarkan di saluran-saluran berkenaan," katanya lagi.

Sementara itu, Izham juga pada masa sama memuji keunikan vokal dan personaliti yang ditampilkan oleh Esther dan juga Aweera.

Menurut Izham, kelebihan Tomok sepanjang OIAM3 secara tidak langsung menyerlahkan daya saing dan kredibiliti Esther dan Aweera bagi menampilkan keunikan yang ada pada diri dua peserta muda terbabit.

"Persembahan Tomok memang spectacular (hebat). Itu fasal ramai peminat undi dia. Saya tidak pernah dengar suara ketiga-tiga bintang ini... mereka amat unik. Kita sudah ada rancangan untuk mereka.

"Saya anggap mereka ini sebagai bunga mawar yang sedang berkembang. Inilah spirit (semangat) dalam OIAM. Tunggulah Isnin ini (hari ini) dan kami akan duduk berbincang rancangan untuk mereka ini nanti," katanya.

Kelegaan Esther & Aweera

SEBAGAI tuan punya badan, meskipun tewas dalam gelanggang OIAM3, Esther dan Aweera menerima kenyataan itu dengan hati yang terbuka.

Malah, dua finalis pertandingan nyanyian yang disiarkan secara langsung menerusi stesen 8TV malam Jumaat lalu itu lega kerana persaingan mereka akhirnya bernoktah.

"Akhirnya habis juga (OIAM3). Tahniah pada Tomok. Saya berasa lega OIAM3 sudah berakhir selepas empat bulan saya berada di dalam pertandingan ini. Terima kasihlah kepada 8TV yang telah menjaga saya dengan baik.

"Saya tidak menyangka akan menyertai pertandingan ini, apatah lagi muka saya selalu keluar surat khabar," komen Esther sambil ketawa kecil pada sidang media selepas OIAM3 berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor malam Jumaat lalu.

Esther atau nama penuhnya Elizabeth Applunius Chin @ Esther, 21, tidak menafikan berasa sedikit kecewa apabila gagal menjulang gelaran juara OIAM3 yang menyediakan hadiah lumayan itu.

Kata penyanyi berusia 21 tahun dan berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini, kekecewaannya itu tercetus apabila mengenangkan sokongan daripada para peminat sejak dari awal dia menyertai pertandingan tersebut.

"Sedikitlah (kecewa)... tetapi saya rasa para pengundi saya lebih kecewa. Sebelum naik pentas pada awal konsert tadi pun saya sudah dapat rasakan tidak akan menang. Saya hanya terfikir ini adalah last day (hari terakhir) konsert.

"Saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Perasaan untuk menang itu saya tidak rasa. Lagi pun ini soal vote (undian). Saya anggap ini bukan malam saya, ini adalah malam Tomok. Apa yang penting, saya sudah melangkah dalam industri ini (muzik) dan sampai ke Top 3 OIAM3," katanya lagi.

Sungguhpun gagal bergelar juara, namun peserta berkulit putih melepak ini telah berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan persembahannya pada malam itu.

Esther bukan sahaja memperdengarkan kemantapan vokalnya sewaktu menyanyi tetapi aksinya menari semasa menyanyikan lagu Please Don't Stop The Music juga memukau para penonton.

Ternyata berbadan sedikit gempal tidak menghalang beliau menyanyi sambil menari serta bergelek dengan lincah sekali sewaktu mendendangkan lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Rihanna itu.

Sementara bagi Aweera pula, peluang bersaing pada peringkat akhir OIAM3 merupakan suatu pengalaman manis dan berharga yang tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayatnya.

Jelas jejaka berambut panjang yang meminati muzik rock ini, beliau menganggap penyertaannya dalam OIAM3 sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan bakatnya dalam persada seni suara tanah air.

"Saya bersyukur walaupun tidak menang tetapi berjaya sehingga ke final OIAM3. Apatah lagi, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam dunia seni suara. Dalam ramai-ramai peserta yang pergi audition (uji bakat) saya antara yang telah terpilih.

"Saya bukan sahaja terpilih tetapi layak bertanding hingga ke final. Terima kasihlah kepada semua kakitangan 8TV yang banyak membantu saya selama berada dalam pertandingan ini," ujarnya.

Sama seperti Esther, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Awera Norhissham, 18, juga memperlihatkan gaya dan kredibilitinya yang tersendiri terutamanya dalam menampilkan imej rock yang diminatinya selama ini.

Seperti yang pernah disuarakan oleh Syafinaz Selamat, pengkritik OIAM3 itu tidak menafikan bahawa Aweera merupakan penyanyi rock baru yang boleh meneruskan kesinambungan dalam industri muzik tempatan pada masa depan.

"Tetapi awak (Aweera) harus ingat kita bukannya mahu mencari pengganti Amy (Search) atau Awie (Wings). Awak harus berdiri atas kaki awak sendiri (untuk mencipta nama)," komen Syafinaz sejurus anak kelahiran Perlis itu usai mengadakan persembahan pada malam tersebut. - ABD. AZIZ ITAR

3 comments:

farish izaryl @izreez said...

wahh lmenyaa muka tomok hahahha

miss lolly a.k.a luvfareda said...

separuh duit tomok bagi kat lolly.

itu pasti.

hehehehhee.

Y u Z z 9071 said...

hye cik cloudy...salam singgah juga