Minggu lalu kawan aku, Si Belang dalam ruangan Kucing Jantan ini menyatakan bahawa orang lelaki berasa tertekan atau stres bila bersama dengan perempuan cantik. Kononnya ada kajian itu dan ini yang kata perempuan cantik mendatangkan stres, pada lelaki yang bersamanya, apatah lagi mendampinginya. Lebih-lebih lagi kalau timbul perasaan cemburu.
Tetapi aku berasa sangsi dengan kajian itu. Memanglah orang yang membuat kajian itu mempunyai kaedah tersendiri bagi membuktikan penemuannya.
Aku tidak berkemampuanlah untuk meneliti secara terperinci dan akademik mengenai kajian itu untuk menyanggah atau menerimanya. Tetapi bagi aku secara pengalaman peribadi, perempuan cantik bukan saja tidak mendatangkan tekanan tetapi mententeramkan jiwa.
Menurut kajian itu, tekanan ketika bersama perempuan cantik adalah seperti melakukan terjunan dengan menggunakan payung terjun. Bahan kimia tertentu dalam otak yang keluar serta keperluan oksigen akibat degupan jantung ketika bersama perempuan cantik menyumbangkan kepada tekanan itu.
Tetapi bagi aku tidak pula seperti itu. Bila bersama perempuan cantik, aku tidak berasa tekanan seperti melakukan terjunan payung terjun. Sebaliknya, aku berasa seperti melayari kapal layar ditiup bayu sepoi-sepoi bahasa di lautan redup yang indah.
Bukan saja melihat wajah cantik, tetapi apa saja yang indah pada seseorang perempuan itu sudah cukup memberi ketenteraman pada hati aku. Sememangnya ada lelaki yang berasa resah ketika bersama dengan perempuan cantik, tetapi bagi aku, bukanlah gelisah, tetapi berasa indah.
Sebaliknya, jika aku tidak melihat perempuan cantik untuk beberapa lama, aku yang menjadi gelisah. Maka memandang perempuan cantik menjadi keperluan dalam hidup aku pula.
Aku rasa banyak lelaki yang mempunyai perasaan sedemikian. Kalau tidak masakan, Pancaindera, sisipan hiburan dalam Mingguan Malaysia menjadi tumpuan pembaca, termasuk para lelaki. Ini kerana mereka berasa selesa untuk melihat perempuan cantik, walaupun sekadar dalam bentuk gambar.
Sementara perempuan pula faham mengenai fenomena ini. Maka sebab itulah perempuan berusaha keras, bertungkus lumus untuk cantik. Mereka berusaha melangsingkan badan. Buat penataan wajah, atau dipanggil facial. Juga menatakan badan, atau dipanggil spa. Belum lagi dikira solek-solekan, atau disebut kosmetik. Macam-macamlah usaha orang perempuan untuk menjadi cantik.
Tetapi apakah hakikat perempuan cantik? Perempuan cantik adalah sebahagian daripada keindahan alam. Apa itu indah? Ia hanyalah rumusan dalam otak manusia ketika melihat alam. Sebahagian daripada alam itu dipandang sebagai indah. Sementara ada pula dipandang sebagai hodoh.
Manusia mempunyai keragaman dari segi menentukan apakah yang dikatakan indah. Tetapi majoriti yang menentukan sesuatu itu indah atau tidak.
Umpamanya, majoriti manusia akan melihat pemandangan matahari terbenam sebagai indah. Walaupun sebahagian kecil tidak mengkagumnya.
Begitu juga kebanyakan orang akan melihat bunga itu indah. Tetapi ada pula yang tidak mengkagumi bunga bungaan. Begitulah juga dengan haiwan. Ada orang yang menyukai kucing dan melihat ia indah. Tetapi ada juga golongan yang tidak sukakan kucing.
Keindahan sesuatu perkara itu adalah relatif dan subjektif. Sesuatu itu indah apabila dibuat perbandingan dengan perkara yang lain. Sementara keindahan itu berbeza pula dari kaca mata seseorang yang berbeza.
Tetapi sesuatu perkara atau fenomena itu adalah neutral atau berkecuali. Ia menjadi indah hanyalah apabila diberi nilai oleh seseorang manusia. Tentulah ada sebab bagi manusia untuk menilai sesuatu itu cantik atau tidak.
Menurut kajian aku daripada pemahaman yang cetek ini, tetapi melibatkan pembacaan dalam bidang sains, matematik dan psikologi dengan kaitannya pada Teori Evolusi, ada sesuatu hakikat di sebalik kecantikan perempuan.
Menurut sains, tujuan manusia hanyalah untuk hidup dan membiak. Jadi apa yang dilihat sebagai cantik adalah untuk membantunya supaya ia hidup dan membiak.
Perempuan cantik mempunyai sifat-sifat sihat dengan membawa makna mampu membiak. Tanpa disedari oleh lelaki, perempuan cantik adalah tarikan baginya untuk menjadikannya pasangan dan membina keluarga supaya boleh terus membiak.
Dari segi matematik pula, wajah cantik adalah kerana bentuknya bersifat simetri. Keseimbangan tata letak ciri-ciri wajah menjadikan seseorang itu cantik.
Tidak kiralah, kecantikan itu tetap mententeramkan.
p/s: MrMonday, yg mana satu..yg ni ke yg last week? eheee..
No comments:
Post a Comment