PENYANYI Syamsul Hirdi Muhid atau lebih dikenali sebagai Diddy, 25, selamat dinikahkan dengan pasangannya, Allen Nor Azah Musa di Masjid Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor Baru, hari ini.
Dengan dua kali lafaz, pasangan mempelai yang telah berkenalan sejak 10 tahun lalu dan mengikat tali pertunangan selama empat tahun kini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM300 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM10,000.
Antara barangan hantaran dari pihak Diddy termasuk beg tangan, alat solek, wangian, gelang tangan emas, tepak sirih dan kek dengan dibalas sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan.
Sementara Allen membalas dengan sembilan hantaran antaranya adalah komputer riba, wangian, baju Melayu, tali pinggang, dompet, kek dan sirih junjung. Dulang hantaran kedua-dua belah pengantin ditaja oleh Gidas Creation.
"Alhamdulillah, saya bersyukur penantian selama empat tahun kini berakhir dengan satu ikatan. Kami berasa lega kerana sebahagian dari perjalanan majlis kini sudah selesai.
"Tinggal malam ini ada majlis berinai dan esok majlis persandingan. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar," ujar Diddy dengan nada gembira.
Majlis berinai akan berlangsung malam ini dengan pakaian ditaja oleh Lord Tailor manakala pasangannya ditaja oleh Hazwani Othman. Manakala pada majlis persandingan pasangan mempelai ini yang akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di tempat yang sama esok dengan pakaian sepenuhnya ditaja oleh Hazwani Othman.
Sementara itu rancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini, Diddy memberitahu masih diperingkat perancangan.
"Kami belum rancang tempat dan waktu untuk berbulan madu tetapi apa yang pasti lokasinya di dalam negara," katanya ketika dihubungi.
Ketika ditanya tentang anak, Diddy memberitahu dia belum membuat apa-apa perbincangan berhubung soal anak sebaliknya menyerahkan kepada izin Allah.
Dijangka Majlis persandingan esok akan dihadiri lebih 1500 tetamu terdiri daripada kaum keluarga dan sanak-saudara terdekat kedua-dua mempelai.
Sementara, majlis persandingan sebelah lelaki yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur dengan bertemakan 'perkahwinan dalam taman' akan ditetapkan kemudian.
No comments:
Post a Comment