nuffnang

Friday, December 25, 2009

AVATAR - Neytiri




AVATAR - 'Neytiri karakter terbaik'
Susunan Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


PENGARAH James Cameron sememangnya terkenal dengan kecenderungannya menghasilkan watak utama wanita dengan karakter jati diri yang kuat dan tegas dalam setiap filem arahan beliau.

Tiada bezanya kali ini dengan Avatar, apabila James mencipta seorang lagi 'sri kandi' yang bukan saja berjaya menambat hati Jake Sully (Sam Worthington) sehingga mempengaruhi Jake dengan cara hidup masyarakat Na'vi, penghuni tetap Pandora. Dia turut menawan jutaan hati penonton dengan keberanian serta ketangkasannya beraksi.

Bagi watak Neytiri, James mempertaruhkan kepercayaannya kepada pelakon berbakat, Zoe Yadira Zaldaña Nazariob (Zoe Saldana/Saldana), 31, menggalas tanggungjawab itu.

Lamaran itu nyata disambut dengan rasa bangga dan terharu kerana akhirnya impian Saldana untuk bekerjasama dengan pengarah hebat seperti James tercapai.

"Neytiri adalah karakter terbaik pernah saya bawakan sepanjang menjadi pelakon. Pun begitu, saya terpaksa menempuh masa sukar untuk menjiwai watak itu.

"Neytiri menterjemah proses kehidupan yang berbeza, namun ia sangat menyenangkan kerana dapat bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Jim (James Cameron).

"Tidak banyak watak menarik seperti ini ditawarkan di Hollywood, yang mampu membuatkan anda merasai cabarannya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Karakter itu seolah benar-benar wujud di sekeliling anda.

"Sememangnya sudah lama ingin membawakan watak yang memberi inspirasi sebagai Neytiri. James Cameron memberi kebebasan dan kebenaran kepada saya menjiwai watak ini dengan cara saya sendiri dan ia perkara paling mengagumkan pernah saya lakukan," katanya.

Dilahirkan di New Jersey dan dibesarkan di New York, Saldana menghabiskan beberapa tahun di Dominican Republic. Seorang penari yang berbakat, Saldana akhirnya jatuh cinta dengan dunia teater ketika remaja dan sangat aktif dalam persembahan teater sebelum menjadi bintang di layar perak.

Filem yang dibintangi sebelum ini selain Avatar, antaranya seperti Guess Who, Dirty Deeds, Blackout, dan Vantage Point. Saldana juga pernah berlakon dalam filem box office Star Trex bersama Chris Pine dan Zachary Pinto.





Melalui filem itu, dia memegang watak sebagai Uhura. Selain itu, aktres mirip wajah supermodel terkenal, Tyra Banks ini pernah memegang watak pembantu sebagai Anamaria dalam filem Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl.

Bercerita lanjut mengenai lakonannya di dalam Avatar, ramai yang ingin tahu bagaimana Saldana menjiwai watak Neytiri. Akui Saldana dia berasakan dirinya dan Neytiri sangat serasi kerana itulah Neytiri seperti wujud di dalam dirinya yang sebenar.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana mampu menjiwai watak itu melainkan hanya menjadi diri sendiri. Namun, sudah pasti setiap kali berlakon sebahagian diri saya masuk ke dalam karakter saya bawakan.

"Saya juga tidak percaya seandainya pelakon tidak dipengaruhi sesuatu karakter pernah dibawakan mereka. Ini adalah keadaan biasa dalam kehidupan manusia yang sering terpengaruh dengan keadaan sekeliling.

"Misalnya watak Neytiri ia menjadi sebahagian besar dalam diri saya sekarang. Enam bulan selepas penggambaran saya masih terikut-ikut dengan perwatakannya," katanya.

Saldana melakonkan watak Neytiri, seorang puteri jelita berbangsa Na'vi yang berjaya menyelamatkan nyawa Jake Sully dan kemudian terus menyertai Jake dalam usaha penyelamatan dan peperangan.

Melalui Avatar, Saldana juga berpeluang mempelajari bahasa Na'vi yang direka khas untuk filem ini. Nyata, ia bukan mudah apatah lagi, tidak pernah mendengarnya sebelum ini.

"Ia satu proses yang mengagumkan. Saya berkebolehan dalam berbahasa kerana boleh bertutur Sepanyol dan memahami bahasa Perancis termasuk Itali dan Portugis.

"Bahasa kami pelajari mempunyai sedikit persamaan dengan Latin yang saya sudah terbiasa dengannya dan ini membantu. Proses berdialog bertambah mudah kerana kami dibantu jurubahasa University of Southern California.

"James turut membantu kerana dialah yang bertanggungjawab menghasilkan setiap perkataan dalam dialog itu. Proses memasukkan suara memberikan satu lagi cabaran besar buat saya ditambah pula terdapat banyak babak aksi yang memerlukan persembahan suara seimbang dengan visual," katanya.

Filem Avatar berkisar mengenai Jake Sully, bekas anggota tentera yang terpaksa menggunakan kerusi roda di dalam kehidupannya di bumi. Beliau terpilih menjalankan satu misi ke Pandora, sebuah bulan, selama tiga bulan.

Menggunakan kejuruteraan genetik, Jake berjaya menggunakan fikiran dan emosinya untuk memasuki 'Avatar' yang menyerupai makhluk asing, Na'vi.

Di dalam dunia penyamaran maya ini, Jake berupaya untuk berjalan malah menjadi seorang pahlawan yang gagah. Beliau ditugaskan untuk mencari kelemahan bangsa Na'vi dan menyertai projek untuk mengikis sumber asli Pandora.

Namun, Jake ditakdirkan jatuh cinta dengan Neytiri dan dia menyedari keburukan yang bakal berlaku dan terus mengambil tindakan drastik yang merubah masa depan semua pihak yang terbabit.

Avatar membawa penonton ke dunia yang menjangkau imaginasi apabila seorang lelaki memulakan perjalanan yang penuh cabaran dengan harapan untuk menyelamat dunia makhluk asing yang sudah beliau anggap sebagai tempat tinggal.

James Cameron, pengarah filem yang pernah meraih Oskar melalui filem Titanic mula mendapat ilham menghasilkan filem ini 15 tahun yang lalu. Malangnya apa yang beliau idam tidak boleh dilaksanakan kerana ketiadaan teknologi pada waktu itu.

Selepas hampir empat tahun dalam produksi, Avatar terbukti sebuah karya filem aksi dengan efek khas terkini ciptaan James Cameron yang berjaya membuatkan penonton berasa terbuai dengan jalan cerita dan karakter di dalam filem berkenaan.

Filem ini menggunakan kaedah terbaru 3D yang membolehkan penonton rasai alam sebenar dunia Pandora yang dihuni makhluk berwarna biru : Na'vi

Kehebatan filem ini sememangnya dinanti-nantikan penonton dan bersempena tayangan perdana Avatar Star Movies Vip Access pada 16 Disember lalu diadakan di dua lokasi berlainan iaitu One Utama dan Pavilion KL untuk tayangan 3D.

Di Pavilion Kuala Lumpur, tayangan perdana Avatar 3D di hoskan pengacara VIP Access Lisa S dan pengacara jemputan Dino Omar dari Astro Awani.

Ramai selebriti yang hadir, antaranya Ning Baizura, Nabil, Nora Danish, Aizat, band Estranged, Hujan, Pesawat, Joanna & Co, Sleeq,Imran Ajmain, Fabulous Cats, Natasha Hudson.

Tetamu korporat pula terdiri daripada Naib Presiden Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin; Ketua Pengarah Finas, Mahyiddin Mustakim; Azidin Sulaiman dari Malaysia Airlines dan Martin D'Silva dari Sime Darby Berhad.

>Profil

NAMA: Zoe Yadira Zaldaña Nazario

PANGGILAN: Zoe

TARIKH LAHIR: 19 June 1975

UMUR: 31 tahun

TEMPAT LAHIR: New Jersey

ZODIAK: Gemini

FILEM: Guess Who, Dirty Deeds, Blackout, Vantage Point, Star Trex, Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl serta Avatar.

KERJAYA: Pelakon

No comments: