nuffnang

Sunday, October 11, 2009

Tak boleh gabung puasa

An-Nur: Bersama Zaharuddin Abd Rahman (harian metro)


PADA keluaran lalu kita didedahkan dengan kepentingan usah riak ketika menunaikan ibadat puasa sunat Syawal selain keutamaan yang perlu diberi untuk qada puasa Ramadan dulu berbanding puasa sunat itu.

Keluaran kali ini akan mengupas berkaitan isu lanjutan sama ada wajar atau sebaliknya puasa qada serta sunat digabungkan.

ISU GABUNG SUNAT DAN QADA

Isu menggabungkan puasa qada dan Syawal sememangnya popular. Pandangan ringkas saya adalah seperti berikut:





Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (daripada sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya.

Ini kerana sepanjang pengetahuan saya tiada dalil khusus yang membuktikan Rasulullah SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi Muhammad SAW, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, pasti ia bukan amalan terpilih dan terbaik kerana pilihan baginda serta sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah ada juga hujah menyebabkan pandangan yang mengharuskan penggabungan qada dan ganti itu dipersoalkan iaitu:

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qada (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat), tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat Isyak dengan Tarawih, Subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’.

Ia pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadat wajib, termasuk rekaan pelik seperti solat Subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Profesor Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (bekas Lajnah Fatwa Iraq) dan Profesor Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan), mereka berpendapat amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain.

Ini kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bagi ketika pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajipannya.

Justeru, tindakan menggabungkan itu pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah RA yang melewatkan qada pula boleh dijadikan hujah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa qada dan Syawal. Maka ini yang terpilih sepatutnya (tidak gabungkan kerana Aisyah RA tidak menggabungkannya).

Aisyah menyebut: “Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada) daripada puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban.” (Riwayat Muslim)

4. Amalan wajib (qada) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti), oleh itu tindakan menggabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkan kepastiannya.

Kerana itu ulama yang mengizinkannya mencadangkan supaya diniat puasa qada saja, adapun Syawal itu dipendam saja dengan harapan Allah SWT menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat Syawal kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya. (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427: naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Ada pula yang berhujah amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan disebutkan juga oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat.

Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari daripada Syawal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun).” (Riwayat Al-Bukhari)

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘penggunaan perkataan selepas’ bagi puasa Ramadan. Mungkin saja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlu melengkapkan dulu, kemudian baru mereka layak mendapat peruntukan pahala sunat Syawal.

7. Hujah ulama yang mengharuskannya adalah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima. Contohnya seperti niat sembahyang dicadangkan dalam Mazhab Syafie dimulakan ketika lafaz takbiratul ihram disebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, halaman 78, cetakan Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cetakan Baytul Afkar, halaman 103)

Justeru, niat juga ada disiplin dan tidak boleh dibuat sesuka hati dalam ibadat.

KESIMPULAN

Kesimpulan dalam mengutarakan perbincangan yang terbatas ini: Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didulukan yang wajib (qada) daripada sunat (Syawal).

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah (keringanan) bagi mereka yang ada kesukaran kerana uzur dan tidak mampu mengasingkannya.

Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari Mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panel fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

No comments: