nuffnang

Friday, October 30, 2009

Congrats Yuna!

Yuna: Jangan label artis tidak pandai jika tidak berkelulusan tinggi

Yuna bergambar pada majlis konvokesyennya di UiTM, Shah Alam Selasa lalu.

PENYANYI berbakat besar ini pada awalnya agak segan untuk berkongsi cerita dan gambar-gambar yang diambil di majlis konvokesyennya yang berlangsung pada Selasa lalu untuk tatapan umum.

Bukan kerana tidak mahu memberikan kerjasama, namun Yunalis Zarai atau lebih dikenali dengan panggilan Yuna ini agak keberatan berbuat demikian kerana enggan disalahtafsirkan oleh pihak-pihak tertentu.

Tambahan pula dengan pelbagai kata kurang enak yang dilemparkan buat dirinya sejak kebelakangan ini, Yuna agak 'serik' kerana bimbang apa yang akan berada di kotak fikiran masyarakat nanti andai kata dia begitu terbuka menceritakan tentang majlis graduasinya itu.

Namun, setelah dipujuk, penyanyi berusia 23 tahun ini akhirnya tidak menolak untuk berkongsi serba-sedikit kegembiraan yang dirasainya setelah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.

"Saya ni segan sikit kalau nak bercerita tentang hal ini. Saya tidak mahu orang buat andaian macam-macam pula. Tetapi, jika cerita saya ini dapat dijadikan sebagai satu inspirasi buat anak-anak muda, saya rasa tidak mengapalah saya berkongsi sedikit," ujar Yuna.

Menurut gadis kelahiran Alor Star, Kedah ini, dia akui cukup gembira apabila usahanya selama ini bertungkus-lumus dalam mempelajari selok-selok dunia guaman dan menyiapkan tugasan yang diberikan 'terbayar' jua apabila dia berjaya menamatkan pengajiannya.

Enggan berkongsi secara mendalam tentang keputusan dan pencapaian yang diraih dalam pengajiannya itu, kata Yuna, cukuplah jika dia mengatakan, kejayaan tersebut amat indah untuk disimpan kemas di dalam kamus hidupnya dan orang-orang tersayang di sampingnya iaitu ibubapanya.

"Berhasil jua usaha dan pengorbanan saya selama ini kerana akhirnya impian untuk menggenggam ijazah tercapai jua.

"Dan apa yang lebih menyeronokkan saya ialah kerana dapat meraikan hari konvokesyen bersama ibu dan bapa, serta sepupu saya, Wawa.

"Saya juga ada menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana pula kelak. Tapi, tak tahulah bila masanya saya dapat berbuat demikian kerana selepas ini, saya ingin berikan tumpuan terlebih dahulu terhadap bidang muzik.

"Namun, biar apapun, saya tetap akan pastikan hasrat saya ini terlaksana jua meskipun masanya agak lambat lagi untuk saya berbuat demikian," kata Yuna yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

Mengimbas semula zaman universiti yang dilaluinya itu, ujar Yuna, 'zaman' itu memang merupakan satu perjalanan yang cukup menarik buat dirinya dan rakan-rakan seperjuangan apatah lagi bidang yang diambilnya itu merupakan pilihannya sendiri.

"Saya memang cukup meminati bidang undang-undang kerana bidang ini juga pada masa yang sama menekankan aspek bahasa. Bidang ini jugalah yang akan saya pilih kelak jika hasrat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana tercapai.

"Jika tidak menjadi seorang peguam pun satu hari nanti, mungkin saya akan terbabit di dalam profesion lain tetapi masih ada berkaitan dengan guaman. Tidak semestinya seseorang itu perlu menjadi peguam saja jika mengambil bidang undang-undang.

"Apapun, saya seronok melalui fasa pembelajaran bersama rakan-rakan selama ini. Apa yang penting, saya dapat lalui zaman universiti dengan 'aman' kerana tidak ramai orang mengenali saya sebagai penyanyi.

"Mungkin kerana sewaktu lagu Dan Sebenarnya mula melonjak, saya pada waktu itu sudah pun menuntut di tahun akhir pengajian," tutur pemilik Yuna Room Records dan IAMJETFUEL Enterprise ini.

Ditanya pendapatnya tentang bilangan artis berpelajaran tinggi tidak begitu ramai memenuhi industri seni tanahair, kata Yuna, definisi 'berpelajaran tinggi' itu sebenarnya cukup subjektif untuk diperkatakan.

"Saya memang sentiasa meletakkan keutamaan terhadap pendidikan. Bagi saya, ilmu memang amat penting bagi setiap manusia. Tetapi saya berharap, masyarakat boleh menukar persepsi tentang artis yang tidak belajar sehingga di peringkat universiti.

"Jangan labelkan artis itu tidak pandai hanya kerana dia tidak mempunyai ijazah atau bukan berkelulusan tingi. Ilmu boleh dikutip di mana-mana saja sebenarnya sepanjang hidup kita.

"Adakalanya, 'street smarts' lebih bagus daripada 'book smarts'," ujar Yuna yang kini terlibat di dalam persembahan siri jelajah kumpulan indie dari Indonesia, Mocca yang membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.



sumber: mstar.com.my

No comments: