Untuk peringatan pada diri sendiri dan dikongsi bersama
Peliharalah Aib Orang
Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN - mstar.com.my
SEBAGAI orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan sunnah dalam menentukan tingkah laku kita dalam menjalani kehidupan ini.
Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengemabara dibekalkan dengan penunjuk arah ini.
Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup ini. Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan.
Maka, ramai yang berpegang kepada moto jenama Nike, "Just do it". Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambil kira kesannya pada diri mahupun orang lain. Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada moto ini. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan ini.
Dalam kehidupan seorang muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkah laku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?
Walaupun seorang muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara yang dilarang itu ialah membuka aib diri dan aib orang lain. Membuka aib diri itu mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri.
Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini ialah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.
Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Alangkan seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Maka, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri kita sendiri.
Namun, bila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain sedangkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."
Malangnya, ramai orang Islam yang lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan; menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu; mahupun, menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.
Malah, ada yang mengaut keuntungan dari keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan. Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?
Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan ini mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?
Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam dari menyatakan keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan ini, ia menjadi fasik, maka hendaklah ia bertaubat. Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya, "... dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang...". Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?
Dalam pengenalan beliau mengenai Surah al-Hujurat ini, Abdullah Yusuf Ali, dalam terjemahan al-Qurannya menyebut bahawa, surah ini menyentuh tentang adab yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakat Islam. Selain melarang mengaibkan orang, surah ini juga memerintahkan agar: ketua dihormati, khabar angin diselidik, damaikan dua pihak yang berkelahi, manusia lain jangan dicemuh atau diperlekeh, jangan label orang dengan perkataan yang buruk, jauhi prasangka; jangan mencari salah dan keaiban manusia, jangan mengumpat dan berkenal-kenalanlah sesama manusia.
Amat malang sekali bila mana umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat, telah tidak mengambil manfaat dari panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya.
Maka, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding masyarakat Barat atau Timur yang tiada "kompas" penunjuk jalannya?
** Siti Fatimah Abdul Rahman ialah Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
hmmm.. first step... jom kita jangan dok ngadap tv pukul 12.30 every sunday... well.. bukan on sunday at 1230 je, tapi yg tu yg paling glamer kan
No comments:
Post a Comment