nuffnang

Friday, May 22, 2009

Yunalis Zarai



Terpilihnya lagu Dan Sebenarnya dalam AF aritu memang telah banyak memberi manafaat pada Yuna kannnn... bagus baguss...

So, nih artikel aku amik kat Harian Metro


Berbekalkan suara merdu dan imej berbeza daripada penyanyi wanita sedia ada membuatkan gadis bertudung bernama Yunalis Zarai (Yuna), 22, ini mula mencipta fenomena baru dalam dunia hiburan.

Nama gadis berbakat besar ini mula menjadi sebutan apabila lagu ciptaanya, Dan Sebenarnya, menjadi pilihan peserta Akademi Fantasia musim ketujuh, Aishah ketika konsert minggu pertama.

Malah, suara dan wajah penyanyi indie solo wanita yang membawakan konsep pop rock itu makin rancak dikenali selepas lagunya sering diputarkan di stesen radio.

Percubaan secara suka-suka menerusi medium Myspace, memberi ruang kepada Yuna untuk melebarkan sayap dalam pentas hiburan tempatan menerusi muzik diperjuangkannya sejak dua tahun lalu.

Apa yang menarik pada gadis ini ialah dia bukan saja tahu bermain gitar dan menyanyi dengan baik malah dia juga komposer berbakat yang berani bergerak sendiri untuk mengedarkan albumnya tanpa mengharapkan bantuan syarikat rakaman.

Kekurangan bajet tidak pernah dijadikan alasan untuk bertolak ansur mengenai kualiti. Walaupun cuma memuatkan lima lagu, empat daripadanya dalam bahasa Inggeris dan hanya Dan Sebenarnya lagu Melayu. Album EPnya mencatat penjualan yang memberangsangkan.

Melihat pencapaian gadis bertudung ini, tidak menghairankan apabila ada segelintir artis terkenal tanah air mengintai untuk bekerjasama dengannya bagi penghasilan lirik buat mereka.

Ketika ditemui sewaktu fotografi Rap, Yuna akui mendapat permintaan daripada artis tempatan yang berminat untuk menjalin kerjasama dengannya.

"Ada beberapa artis yang menghampiri dan menyuarakan hasrat untuk mendapatkan khidmat saya menggubah lagu.


"Ketika mendengar berita itu, saya agak terharu kerana sama sekali tidak menyangka ada pihak yang mempercayai bakat saya apatah lagi masih baru dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, saya terpaksa menolak permintaan mereka. Bukan kerana bermegah, tetapi belum bersedia untuk menjalinkan kerjasama sedemikian.

"Biarlah saya belajar dan mengetahui dahulu selok- belok bidang ini. Apabila sudah ada pengalaman dan pengetahuan nanti, insya-Allah, saya berbesar hati menerima permintaan untuk mencipta lagu buat mereka yang berminat," katanya.

Menyentuh mengenai pembabitannya menulis lirik lagu bermula seawal usia 15 tahun seperti yang pernah dipaparkan di media sebelum ini, sudah tentu gadis ini mampu memberikan yang terbaik kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya akui mula menulis lirik seawal usia 15 tahun, tetapi ia hanya sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang.

"Lagipun, saya bukannya arif sangat dalam bidang komposisi lagu dan masih dalam proses belajar. Sebab itulah saya tidak begitu yakin untuk merealisasikan permintaan mereka.

"Saya lagi takut sekiranya lagu yang saya gubah nanti tidak sesuai malah mengecewakan mereka pula. Bukan bermaksud berfikiran negatif, tetapi sesuatu perkara itu perlu diteliti dahulu dan bukan menerima bulat-bulat," katanya.

Selain gitar, Yuna turut berkebolehan bermain piano dan bidang yang diceburinya kini turut mendapat galakan daripada ibu bapa tersayang.

Membanggakan apabila gadis manis yang baru sahaja selesai menjalani peperiksaan akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), khabarnya menerima pelawaan daripada syarikat rakaman tempatan dan luar negara yang mula berhasrat untuk menyuntingnya. Bagaimanapun, Yuna terpaksa menolak baik hasrat mereka.

"Mereka memberi tawaran yang bagus kepada saya, tetapi terpaksa menolaknya. Bukan kerana sombong, tetapi saya sudah selesa bergerak sendiri.

"Apabila bergerak sendiri, kita tidak akan terikat dengan mana-mana protokol ataupun undang-undang yang termaktub dalam kontrak yang secara tidak langsung akan membataskan kreativiti seseorang itu.

"Lagipun, saya tidak tahu senario serta rentak pengurusan syarikat rakaman sama ada dalam negara mahupun di luar.

"Justeru, saya fikir lebih baik bersama rakan seperjuangan Adil, Efry dan Pa'an mengeluarkan album dengan menggunakan modal sendiri seperti yang kami lakukan menerusi album EP sebelum ini," katanya.

Bercerita mengenai projek terbaru, kata Yuna, dia sedang menumpukan sepenuh tumpuan untuk menerbitkan album penuh yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini. Selain itu, jadualnya penuh terisi dengan undangan memenuhi persembahan dan fotografi.

"Ketika ini, saya begitu sibuk menyiapkan album penuh yang bakal memuatkan 10 lagu, tujuh daripadanya dalam bahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu. Semua lagu itu sudah siap cuma menunggu masa untuk dirakamkan sahaja.

"Dahulu saya menggunakan modal bapa untuk membikin album EP, tetapi kali ini modal untuk album penuh diperoleh melalui hasil persembahan dan penjualan album.

"Jadual persembahan serta undangan memenuhi fotografi pula penuh hingga lepas raya. Walaupun penat, saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya lakukan," katanya.

Ditanyakan mengenai perasaannya yang berada di ambang populariti, Yuna yang baru sahaja selesai menggubah lagu untuk dokumentari 'Village Help' untuk MediaCorp, Singapura, memberitahu pembabitannya dalam muzik bukanlah untuk mengejar glamor.

"Tujuan saya bermain muzik bukan untuk popular. tetapi untuk berkongsi muzik dengan khalayak. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan apa yang saya kecapi sekarang dan sudah tentu perlu membiasakan diri dengan dunia populariti yang bakal ditempuhi," katanya.

Melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa menjadi idaman setiap penyanyi. Begitu juga dengan penyanyi ini yang digelar Norah Jones Malaysia turut menyimpan impian agar karyanya dinikmati di peringkat antarabangsa.

"Sudah tentu saya ingin menembusi pasaran luar. Lagipun, itu memang impian dan matlamat seseorang yang menceburi muzik.

"Insya-Allah, jika ada peluang saya ingin menembusi bukan saja pasaran Asia malah meliputi Eropah dan Amerika Syarikat," katanya.



Profil

NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai

NAMA KOMERSIAL: Yuna

USIA: 22 tahun

LAHIR : 14 November 1986

ADIK-BERADIK: Anak tunggal dalam keluarga

HOBI :Menonton filem dan mendengar muzik

IDOLA: Fiona Apple

PENDIDIKAN : Baru selesai menjalani peperiksaan akhir di UiTM Shah Alam dalam ijazah Undang-undang

E-MEL : yunaroomrecords@gmail.com

2 comments:

a.b geldofg said...

sayaaaaaaaaaaaaang yuna

insan ceria said...

yuna still ur tudung..xkan melayu hilang jika music indie masih ade....